Dalam minggu ini, saya banyak mendapat
pengetahuan tentang cara memanfaatkan ICT dan komputer dalam satu sesi PdP. Hal
ini demikian kerana saya didedahkan dengan cara membina tapak, laman web
pembelajaran dan pakej tutorial pembelajaran dalam PdP bahasa Melayu. Sebagai
seorang bakal guru bahasa Melayu, saya memahami bahawa saya harus
memperlengkapkan diri saya dengan teknik membina tapak dan tutorial
pembelajaran supaya dapat digunakan oleh anak murid saya untuk belajar sama ada
secara dalam talian atau luar talian. Dengan ini, mereka boleh belajar dan
mengulang kaji pelajaran bukan sahaja di dalam kelas sahaja tetapi juga boleh
dijalankan di dalam rumah atau di mana-mana sahaja pada bila-bila masa sama ada
dengan bantuan atau tanpa bantuan guru.
Melalui pembentangan rakan sekelas,
saya mendapat tahu bahawa kita boleh membina tapak pembelajaran bagi PdP bahasa
Melayu dalam laman-laman tertentu. Namun masalahnya, banyak tapak pembelajaran
yang terdapat di Internet adalah yang berbayar. Jadi, saya sebagai seorang guru
pelatih yang masih sedang belajar tidak mampu untuk membayar bagi menggunakan
tapak pembelajaran seperti GeoCities, Tripod dan Frog VLE.
Sebagai cara alternatif, saya mengambil keputusan untuk membina pakej tutorial
pembelajaran secara luar talian iaitu menggunakan PowerPoint untuk
menghasilkan tutorial pembelajaran yang lebih interaktif berbanding dengan PowerPoint
biasa.
Sebelum membina pakej tutorial pembelajaran luar talian, saya telah
membuat perancangan untuk mengambil kira beberapa aspek penting yang diperlukan
untuk memastikan keberkesanan tutorial pembelajaran yang ingin saya binakan
itu. Garis panduan pembinaan saya adalah seperti berikut.
Menyedari tentang 8 garis panduan
pembinaan pakej tutorial pembelajaran, saya telah memuat naik pelbagai gambar
yang comel dan animasi yang menarik untuk memasukkan ke dalam pakej tutorial
pembelajaran dengan tujuan memberi motivasi kepada anak-anak murid untuk terus
belajar menggunakan pakej tersebut. Saya memahami bahawa kanak-kanak lebih
tertarik dengan benda yang berwarna-warni, jadi gambar-gambar ini diharap akan
menjadi perangsang kepada mereka untuk belajar bersungguh-sungguh dengan pakej
tutorial pembelajaran yang diberikan itu.
Dalam pakej tutorial pembelajaran yang
telah saya bina itu, saya memberi fokus kepada kemahiran mendengar dan bertutur
bagi murid tahun 1. Dengan menggunakan hyperlink,
murid-murid dapat menggunakan PowerPoint
dengan lebih interaktif. Hal ini dapat mengelakkan kebosanan murid semasa
belajar. Selain itu, saya banyak menggunakan hyperlink dan audio untuk diklik
oleh murid.
Tidak lupa juga saya masukkan bahan
video dalam set induksi supaya murid-murid mempunyai semangat untuk meneruskan
pembelajaran yang seterusnya. Gambar-gambar haiwan yang comel telah saya
masukkan ke dalam pakej tutorial pembelajaran saya dan murid boleh mendengar
setiap bunyi haiwan serta mengajuk bunyi-bunyi tersebut. Oleh sebab saya telah
memasukkan audio-audio dalam pakej tutorial pembelajaran, murid-murid boleh
mendengar bunyi haiwan secara berulang-ulang. Oleh itu, masalah murid mendengar
dengan kurang jelas dapat diselesaikan kerana mereka boleh replay audio-audio tersebut sehingga dapat dikecam dan diajuk.
Pada akhir pembelajaran dalam minggu
ke-5 ini, saya telah menguasai cara membina pakej tutorial pembelajaran bagi
PdP bahasa Melayu. Dengan ini, saya mendapat satu pengetahuan dan kemahiran
lagi untuk membina pakej tutorial pembelajaran sendiri supaya boleh digunakan
oleh murid-murid dan juga dikongsi dengan rakan-rakan sejawat yang lain untuk
bersama-sama mewujudkan suasana pembelajaran yang menarik.
Sebelum ini, saya hanya menggunakan pakej tutorial
pembelajaran yang dibina oleh guru-guru lain atau pakar-pakar dalam bidang ICT.
Tetapi selepas amali minggu ini, saya juga boleh membina pakej tutorial
pembelajaran sendiri. Saya mendapat peluang untuk melaksanakan amali secara hands-on dan pengalaman ini amat
berfaedah untuk saya bukan setakat di IPG tetapi juga membantu pengajaran saya
pada masa hadapan.
Saya menyedari kepentingan penyediaan pakej tutorial
pembelajaran kerana ia membolehkan seseorang murid untuk belajar tanpa
kehadiran cikgu. Ini sebenarnya meningkatkan lagi kefahaman seseorang murid
tentang sesuatu topik pengajaran kerana mereka menggunakan pakej tutorial
pembelajaran melalui kerja sendiri. Oleh itu, saya beranggapan bahawa pakej
tutorial pembelajaran boleh dijadikan BBM di dalam kelas untuk memudahkan PdP
seorang guru.
Walaupun saya tidak berpeluang membina tapak pembelajaran
secara dalam talian kerana tidak mampu untuk melayari laman-laman yang berbayar,
namun saya juga mencari maklumat tentang cara membinanya dalam Internet. Dengan
melihat kepada video dalam Youtube,
saya juga tahu serba sedikit tentang cara membina dan menggunakan tapak
pembelajaran. Jika satu hari nanti saya berkemampuan untuk menggunakan
tapak-tapak pembelajaran yang bermanfaat ini dengan berbayar, saya juga akan
menggunakannya untuk membina sesuatu bahan yang berguna bagi anak-anak murid
saya.
Perjuangan untuk mendidik insan yang syumul tidak akan
langsai selagi seseorang itu masih bergelar sebagai cikgu.