Khamis, 13 Ogos 2015

Refleksi Minggu 8

Dalam minggu ini, saya diperkenalkan dengan aplikasi pengajaran seperti Web 2.0 secara dalam talian dan luar talian. Perbezaan paling ketara antara dalam talian dan luar talian ialah dalam talian memerlukan kemudahan Internet manakala luar talian atau lebih dikenali sebagai offline boleh digunakan tanpa Internet kerana maklumat yang diperlukan itu telah dimuat turun dan disimpan dalam satu fail. Hal ini merupakan satu berita baik yang sangat menggembirakan kerana saya sendiri merupakan salah satu pengguna Internet yang menghadapi kekangan untuk menyambung talian ke komputer saya.



Walaupun pengajaran dalam talian kelihatan rumit kerana memerlukan sambungan Internet ke komputer, tetapi saya lebih suka PdP dijalankan dengan adanya bahan yang harus dicari daripada Internet. Bagi saya, abad ke-21 merupakan zaman yang sarat dengan kecanggihan teknologi. Oleh hal yang demikian, kita harus memanfaatkan kemudahan ICT yang ada dalam dunia sekarang dengan maksimum.



Jika berbanding dengan zaman dahulu, kita hanya mencari maklumat dan bahan yang diperlukan di perpustakaan dalam bentuk buku. Namun kini, kita boleh mendapat bermacam-macam maklumat daripada Internet dengan cepat, mudah dan efisien. Kita tidak perlu menghabiskan masa membelek-belek buku untuk mencari bahan yang diperlukan tetapi kita hanya perlu memasukkan kata kunci yang ingin dicari dan Internet akan mencari bahan-bahan yang terhadap kata kunci tersebut kepada kita. Tidak kira bahan audio, video, permainan,gambar, teks mahupun PDF boleh dicari dalam Internet dan hasil pencarian itu biasanya pelbagai dan memenuhi kehendak kita sebagai warga Internet.



Dalam amali minggu ini, saya telah menjalankan simulasi pengajaran dalam talian dan luar talian. Saya telah membina RPH dari aspek set induksi dan langkah satu untuk kedua-dua aplikasi dalam dan luar talian. Dalam pengajaran dalam talian, banyak hyperlink telah saya masukkan yang berhubung dengan web page di Internet. Web page ini hanya boleh diakses dengan adanya perkhidmatan Internet. Contoh yang telah saya masukkan dalam amali ialah gambar Dato’ Lee Chong Wei yang dicari dariapda google images. Jika kita ingin menengok gambar tersebut, kita harus masuk kepada link yang disertakan itu dan Internet juga diperlukan.



Bagi pengajaran luar talian, saya telah memuat turun nota kata ganda separa daripada Internet terlebih dahulu. Oleh itu, anak-anak murid boleh terus guna bahan yang saya masukkan itu tanpa perlu perkhidmatan Internet.



Membandingkan kedua-dua pengajaran dalam dan luar talian, saya berpadangan bahawa pengajaran dalam talian lebih sesuai untuk murid bandar kerana mereka hidup dalam keadaan yang serba ada. Kebanyakan ibu bapa mereka mampu untuk menyediakan perkhidmatan Internet kepada anak mereka. Jadi, mereka boleh menggunakan Internet untuk menjalankan sesi pembelajaran. Namun, bagi murid-murid yang duduk di perkampungan dan pedalaman, kebanyakan taraf hidup keluarga mereka agak rendah. Oleh itu, mereka mungkin tidak mampu untuk melayan Internet mahupun memberi komputer. Maka, pengajaran luar talian lebih sesuai bagi mereka kerana mereka boleh menggunakan bahan Internet yang telah dimuat turun oleh cikgu tanpa perlu dilengkapi dengan apa-apa perkhidmatan dalam talian di pasaran.



Pada persepsi saya, semua murid berpeluang untuk mendapat pendidikan yang sama rata. Jika murid menghadapi kekangan dari segi ketiadaan Internet, maka cikgulah yang bertanggungjawab untuk membantu murid menyelesaikan masalah untuk memastikan bahawa mereka juga menjalankan proses pembelajaran walaupun tanpa Internet.