Khamis, 16 Julai 2015

Refleksi Minggu 4

Minggu ini, kumpulan saya ditugaskan untuk membuat pembentangan tentang tajuk pemilihan bahan Internet untuk PdP bahasa Melayu. Sebelum menyediakan slaid pembentangan, saya bersama dengan ahli-ahli kumpulan saya telah membuat perbincangan tentang tajuk ini. Oleh itu, pengetahuan saya tentang tajuk ini menjadi lebih kukuh lagi apabila mendapat tunjuk ajar daripada rakan sekumpulan. Dengan adanya pengetahuan yang lebih mendalam tentang tajuk pembentangan, saya lebih yakin untuk menyampaikan pembentangan saya di dalam kelas.

Saya memahami bahawa kini, kita sebagai seorang guru boleh mendapatkan bahan-bahan daripada negeri dan negara lain sebagai rujukan dan BBM untuk digunakan dalam PdP. Namun, kita perlu memilih bahan secara teliti supaya bahan sumber yang digunakan itu benar-benar membantu proses PdP dan juga untuk mengelakkan timbulnya kesan negatif yang tidak dikehendaki atau tidak dijangka dalam proses mengajar. Saya berpandangan bahawa sesi PdP yang dilengkapkan dengan BBM membantu guru untuk menarik perhatian murid dan membantu murid untuk lebih memahami tajuk pembelajaran pada hari tersebut. Namun, bukan semua bahan daripada Internet sesuai untuk digunakan di dalam semua kelas. Untuk memilih bahan yang relevan dan sesuai, 4 aspek perlu diikuti iaitu:

 4 aspek pemilihan bahan


Menyedari tentang keempat-empat aspek yang perlu diambil kira semasa memilih bahan PdP daripada internet, ahli-ahli kumpulan saya menerangkan cara pemilihan bahan yang betul kepada kawan-kawan. Mengikut pengalaman saya, bahan-bahan di dalam Internet banyak tetapi bukan semua bahan itu adalah sahih dan tepat. Jika kita menggunakan bahan yang tidak tepat semasa mengajar, maka kita diibarat sedang memberi ajaran sesat kepada anak-anak bangsa kita. Selain itu, terdapat juga bahan di Internet yang tidak sesuai dengan tahap murid kita. Sesetengah bahan itu menggunakan bahasa yang terlalu tinggi sehingga tidak mampu difahami oleh murid-murid peringkat sekolah rendah kerana tahap kognitif mereka belum lagi mencapai tahap orang dewasa. Menyedari tentang hakikat ini, saya dan rakan-rakan sekumpulan menerangkan cara pemilihan bahan sastera, bahan tatabahasa dan bahan bidang ilmu lain yang harus diambil tahu oleh guru-guru.


Cara Pemilihan Bahan Sastera

Pemilihan bahan sastera perlu berkaitan dengan unsur-unsur yang terdapat dalam kesusasteraan, iaitu:

Selain itu, saya juga memahami bahawa pemilihan bahan sastera perlu mengambil kira aspek-aspek lain seperti aspek-aspek terhadap penerimaan bahan tersebut kepada murid. Aspek-aspek tersebut termasuk umur murid, tahap kogitif murid dan kecerdasan murid. Murid yang kurang pandai harus diberi bahan sastera yang mudah dahulu contohnya pantun dua kerat. Selepas murid tersebut menguasai peringkat asas dalam sastera, barulah guru memberi bahan yang lebih mencabar kepadanya contohnya pantun empat kerat, syair, sajak, cerpen, prosa tradisional dan sebagainya. Ringkasnya, guru harus mengambil kira umur, tahap dan kecerdasan murid semasa memilih bahan sastera daripada Internet supaya murid tidak berasa tertinggal kepada pembelajaran di dalam kelas.

Cara Pemilihan Bahan Tatabahasa

Dari segi cara pemilihan bahan tatabahasa pula, saya memahami bahawa seseorang guru harus betul-betul mahir dan pakar dalam bidang tatabahasa supaya tidak memberi ajaran sesat kepada murid-murid. Oleh itu, guru harus memilih bahan tatabahasa yang tiada kesalahan dari segi nahu supaya tidak mengelirukan anak-anak murid.

Dalam konteks ini, beberapa kriteria perlu diambil kira semasa memilih bahan tatabahasa sebagai bahan PdP iaitu:
  • ketepatan kandungan
  • jenis tatabahasa
  • kaitan dengan isi PdP
  • contoh yang jelas dan relevan
  • sesuai dengan tahap murid
  • mudah diakses oleh murid

Dari segi pemilihan bahan-bahan bidang ilmu lain, saya menyedari kepentingan pemilihan bahan-bahan ini kerana hal ini sesuai dengan konsep 5P (penggabungjalinan, penyerapan, penilahan, pengayaan dan pemulihan) dalam dokumen standard yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menjalankan PdP merentas bidang ilmu lain. Bidang ilmu lain yang dimaksudkan adalah seperti bidang agama, ilmu Sains, ilmu Geografi, Matematik dan Sejarah. Bidang-bidang ilmu yang di luar bidang bahasa ini boleh diserapkan dalam PdP bahasa Melayu kami nanti. Dengan ini, murid yang seimbang dari segi pelbagai bidang dan juga mempunyai pengetahuan dengan skop yang cukup luas dapat dihasilkan dan dibentuk.

Natijahnya, sesi pembentangan kami dijalankan dengan lancar. Kami telah membuat yang terbaik untuk memberi input yang bernas kepada rakan-rakan sekelas supaya mereka boleh tahu dengan lebih mendalam cara memilih bahan yang sesuai kepada anak-anak murid mereka nanti. Bagi saya, saya akan mengaplikasikan ilmu yang telah saya dapat daripada pembentangan minggu ini dalam kehidupan seharian saya. Apabila saya memilih bahan yang ingin digunakan sebagai BBM dalam kelas, saya akan melihat dengan lebih teliti sama ada bahan itu memenuhi kriteria-kriteria bahan sahih dan berkesan. Diharapkan ilmu ini akan sentiasa membantu saya dalam kerja pemilihan BBM yang sesuai dan relevan dengan anak-anak murid saya nanti.

Diharapkan ilmu yang telah saya peroleh ini akan saya manfaatkan pada masa hadapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan