Khamis, 30 Julai 2015

Refleksi Minggu 6



 Dalam minggu ini, saya didedahkan dengan 4 jenis struktur perpautan dalam penyusunan bahan PdP bahasa Melayu. Sebelum ini, saya mengetahui tentang hyperlink dalam blog serta pakej tutorial pembelajaran yang telah saya amalikan dalam minggu ke-5. Kali ini, saya diminta untuk menghasilkan struktur perpautan dalam bentuk PowerPoint pula. Sebelum diterangkan dengan lebih lanjut, saya berpandangan bahawa struktur perpautan tidak terikat dengan format-format tertentu. Tetepi rakan-rakan sekelas memberi tunjuk ajar kepada saya bahawa terdapat 4 struktur perpautan yang boleh digunakan dan bentuknya berlainan. Maka bertambahlah pengetahuan saya tentang struktur perpautan dalam PowerPoint.

Selepas sesi amali, saya mendapat tahu bahawa struktur-struktur perpautan ini amat berguna kepada saya untuk menyediakan PowerPoint yang memasukkan semua bahan yang berkaitan dengan satu tajuk. Dengan menggunakan struktur hierarki, struktur komposit, struktur linear dan struktur rangkaian, bahan-bahan bahasa Melayu yang daripada laman sesawang berlainan boleh dimasukkan ke dalam satu PowerPoint untuk dilayari oleh murid sebagai bahan tambahan dan bahan rujukan.

Selain itu, saya memahami peranan saya sebagai guru yang harus menyediakan satu laman utama yang di dalamnya merangkumi pelbagai pautan untuk membantu murid menyelesaikan tugasan atau latihan yang telah saya berikan. Dengan melayari ke laman-laman pautan yang saya sertakan dalam PowerPoint, murid akan mendapat maklumat yang menyeluruh tentang sesuatu tajuk tugasan. Tajuk tugasan itu didefinisikan dan diterangkan secara umum dalam laman induk yang harus juga saya pautkan dalam PowerPoint.

Sebagai percubaan, saya membuat struktur hierarki tentang golongan kata. Maksud golongan kata dipautkan dalam laman induk. Kemudian, terbahagi kepada kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas yang terdapat dalam laman sesawang yang berlainan. Selepas membuat pemilihan, saya memasukkan hyperlink laman yang paling sesuai dengan tahap murid dalam PowerPoint itu. Dengan itu, diharapkan murid dapat memahami golongan kata dengan lebih lanjut lagi melalui pautan-pautan yang disertakan itu.

Kemudian, saya menghasilkan struktur komposit yang berkaitan tentang rokok. Struktur ini telah saya bina sebagai bahan pengajaran karangan tentang kesan merokok. Pertama sekali, saya memasukkan perpautan tentang kandungan yang ada dalam sebatang rokok. Kemudian, barulah saya menyertakan perpautan tentang kesan rokok kepada manusia. Selepas melayari perpautan yang saya sertakan itu, murid-murid boleh menggunakan maklumat-maklumat yang didapati daripada perpautan dalam hasil karangan mereka.

Untuk struktur linear, saya memberi fokus kepada syair, iaitu salah satu bahan sastera bahasa Melayu yang terkenal. Selain definisi syair, saya masukkan juga perpautan gaya bahasa sastera supaya murid dapat memahami serba sedikir tentang stail yang boleh digunakan semasa menghasilkan karya sastera. Selepas itu, saya menyertakan satu syair nasihat dairpada Ibny Ahmad Medan. Murid-murid boleh meneliti dan menghayati syair beliau dan mengaitkan dengan definisi serta gaya bahasa yang telah dibaca dalam perpautan-perpautan tadi.

Akhir sekali, saya menyediakan struktur rangkaian untuk diri saya sendiri. Saya mencari perpautan yang merangkumi bahan rujukan untuk guru sekolah rendah. Dengan adany laman induk tersebut, saya boleh memuat turun bahan kecemerlangan UPSR, soalan semua subjek dan skemanya, serta jadual waktu peperiksaan dengan mudah. Hal ini sesuai dengan perkembanagn zaman teknologi yang semua maklumat boleh diperoleh melalui jari tangan sahaja.

Kesimpulannya, setiap laman yang diakses itu akan membawa kepada beberapa subpautan yang berkaitan dengan laman induk tersebut. Pautan tersebut kadang-kala berkaitan langsung dengan tajuk dan kadang-kala tidak. Ia boleh juga diakses secara berasingan mengikut kesesuaian tajuk dan ruang lingkup rujukan yang diperlukan untuk menyelesaikan tugasan tersebut. Hal ini bergantung kepada guru untuk memberi mana-mana struktur perpautan bagi membantu murid mendalami tajuk tugasan yang diberikan supaya tugasan tersebut boleh disiapkan dengan sempurna.