Dalam minggu ini, saya didedahkan dengan 4 jenis struktur
perpautan dalam penyusunan bahan PdP bahasa Melayu. Sebelum ini, saya mengetahui
tentang hyperlink dalam blog serta
pakej tutorial pembelajaran yang telah saya amalikan dalam minggu ke-5. Kali
ini, saya diminta untuk menghasilkan struktur perpautan dalam bentuk PowerPoint pula. Sebelum diterangkan
dengan lebih lanjut, saya berpandangan bahawa struktur perpautan tidak terikat
dengan format-format tertentu. Tetepi rakan-rakan sekelas memberi tunjuk ajar
kepada saya bahawa terdapat 4 struktur perpautan yang boleh digunakan dan
bentuknya berlainan. Maka bertambahlah pengetahuan saya tentang struktur
perpautan dalam PowerPoint.
Selepas sesi amali, saya mendapat tahu bahawa
struktur-struktur perpautan ini amat berguna kepada saya untuk menyediakan PowerPoint yang memasukkan semua bahan
yang berkaitan dengan satu tajuk. Dengan menggunakan struktur hierarki,
struktur komposit, struktur linear dan struktur rangkaian, bahan-bahan bahasa
Melayu yang daripada laman sesawang berlainan boleh dimasukkan ke dalam satu PowerPoint untuk dilayari oleh murid
sebagai bahan tambahan dan bahan rujukan.
Selain itu, saya memahami peranan saya sebagai guru yang
harus menyediakan satu laman utama yang di dalamnya merangkumi pelbagai pautan
untuk membantu murid menyelesaikan tugasan atau latihan yang telah saya
berikan. Dengan melayari ke laman-laman pautan yang saya sertakan dalam PowerPoint, murid akan mendapat maklumat
yang menyeluruh tentang sesuatu tajuk tugasan. Tajuk tugasan itu didefinisikan
dan diterangkan secara umum dalam laman induk yang harus juga saya pautkan
dalam PowerPoint.
Sebagai percubaan, saya membuat struktur hierarki tentang
golongan kata. Maksud golongan kata dipautkan dalam laman induk. Kemudian,
terbahagi kepada kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas yang
terdapat dalam laman sesawang yang berlainan. Selepas membuat pemilihan, saya
memasukkan hyperlink laman yang
paling sesuai dengan tahap murid dalam PowerPoint
itu. Dengan itu, diharapkan murid dapat memahami golongan kata dengan lebih
lanjut lagi melalui pautan-pautan yang disertakan itu.
Kemudian, saya menghasilkan struktur komposit yang
berkaitan tentang rokok. Struktur ini telah saya bina sebagai bahan pengajaran
karangan tentang kesan merokok. Pertama sekali, saya memasukkan perpautan
tentang kandungan yang ada dalam sebatang rokok. Kemudian, barulah saya menyertakan
perpautan tentang kesan rokok kepada manusia. Selepas melayari perpautan yang
saya sertakan itu, murid-murid boleh menggunakan maklumat-maklumat yang
didapati daripada perpautan dalam hasil karangan mereka.
Untuk struktur linear, saya memberi fokus kepada syair,
iaitu salah satu bahan sastera bahasa Melayu yang terkenal. Selain definisi
syair, saya masukkan juga perpautan gaya bahasa sastera supaya murid dapat
memahami serba sedikir tentang stail yang boleh digunakan semasa menghasilkan
karya sastera. Selepas itu, saya menyertakan satu syair nasihat dairpada Ibny
Ahmad Medan. Murid-murid boleh meneliti dan menghayati syair beliau dan
mengaitkan dengan definisi serta gaya bahasa yang telah dibaca dalam
perpautan-perpautan tadi.
Akhir sekali, saya menyediakan struktur rangkaian untuk
diri saya sendiri. Saya mencari perpautan yang merangkumi bahan rujukan untuk
guru sekolah rendah. Dengan adany laman induk tersebut, saya boleh memuat turun
bahan kecemerlangan UPSR, soalan semua subjek dan skemanya, serta jadual waktu
peperiksaan dengan mudah. Hal ini sesuai dengan perkembanagn zaman teknologi
yang semua maklumat boleh diperoleh melalui jari tangan sahaja.
Kesimpulannya, setiap laman yang diakses itu akan membawa
kepada beberapa subpautan yang berkaitan dengan laman induk tersebut. Pautan
tersebut kadang-kala berkaitan langsung dengan tajuk dan kadang-kala tidak. Ia
boleh juga diakses secara berasingan mengikut kesesuaian tajuk dan ruang
lingkup rujukan yang diperlukan untuk menyelesaikan tugasan tersebut. Hal ini
bergantung kepada guru untuk memberi mana-mana struktur perpautan bagi membantu
murid mendalami tajuk tugasan yang diberikan supaya tugasan tersebut boleh
disiapkan dengan sempurna.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan