Jumaat, 24 Julai 2015

Refleksi Minggu 5


Dalam minggu ini, saya banyak mendapat pengetahuan tentang cara memanfaatkan ICT dan komputer dalam satu sesi PdP. Hal ini demikian kerana saya didedahkan dengan cara membina tapak, laman web pembelajaran dan pakej tutorial pembelajaran dalam PdP bahasa Melayu. Sebagai seorang bakal guru bahasa Melayu, saya memahami bahawa saya harus memperlengkapkan diri saya dengan teknik membina tapak dan tutorial pembelajaran supaya dapat digunakan oleh anak murid saya untuk belajar sama ada secara dalam talian atau luar talian. Dengan ini, mereka boleh belajar dan mengulang kaji pelajaran bukan sahaja di dalam kelas sahaja tetapi juga boleh dijalankan di dalam rumah atau di mana-mana sahaja pada bila-bila masa sama ada dengan bantuan atau tanpa bantuan guru.

Melalui pembentangan rakan sekelas, saya mendapat tahu bahawa kita boleh membina tapak pembelajaran bagi PdP bahasa Melayu dalam laman-laman tertentu. Namun masalahnya, banyak tapak pembelajaran yang terdapat di Internet adalah yang berbayar. Jadi, saya sebagai seorang guru pelatih yang masih sedang belajar tidak mampu untuk membayar bagi menggunakan tapak pembelajaran seperti GeoCities, Tripod dan Frog VLE. Sebagai cara alternatif, saya mengambil keputusan untuk membina pakej tutorial pembelajaran secara luar talian iaitu menggunakan PowerPoint untuk menghasilkan tutorial pembelajaran yang lebih interaktif berbanding dengan PowerPoint biasa.

 

Sebelum membina pakej tutorial pembelajaran luar talian, saya telah membuat perancangan untuk mengambil kira beberapa aspek penting yang diperlukan untuk memastikan keberkesanan tutorial pembelajaran yang ingin saya binakan itu. Garis panduan pembinaan saya adalah seperti berikut.

Menyedari tentang 8 garis panduan pembinaan pakej tutorial pembelajaran, saya telah memuat naik pelbagai gambar yang comel dan animasi yang menarik untuk memasukkan ke dalam pakej tutorial pembelajaran dengan tujuan memberi motivasi kepada anak-anak murid untuk terus belajar menggunakan pakej tersebut. Saya memahami bahawa kanak-kanak lebih tertarik dengan benda yang berwarna-warni, jadi gambar-gambar ini diharap akan menjadi perangsang kepada mereka untuk belajar bersungguh-sungguh dengan pakej tutorial pembelajaran yang diberikan itu.

Dalam pakej tutorial pembelajaran yang telah saya bina itu, saya memberi fokus kepada kemahiran mendengar dan bertutur bagi murid tahun 1. Dengan menggunakan hyperlink, murid-murid dapat menggunakan PowerPoint dengan lebih interaktif. Hal ini dapat mengelakkan kebosanan murid semasa belajar. Selain itu, saya banyak menggunakan hyperlink dan audio untuk diklik oleh murid.

Tidak lupa juga saya masukkan bahan video dalam set induksi supaya murid-murid mempunyai semangat untuk meneruskan pembelajaran yang seterusnya. Gambar-gambar haiwan yang comel telah saya masukkan ke dalam pakej tutorial pembelajaran saya dan murid boleh mendengar setiap bunyi haiwan serta mengajuk bunyi-bunyi tersebut. Oleh sebab saya telah memasukkan audio-audio dalam pakej tutorial pembelajaran, murid-murid boleh mendengar bunyi haiwan secara berulang-ulang. Oleh itu, masalah murid mendengar dengan kurang jelas dapat diselesaikan kerana mereka boleh replay audio-audio tersebut sehingga dapat dikecam dan diajuk.

Pada akhir pembelajaran dalam minggu ke-5 ini, saya telah menguasai cara membina pakej tutorial pembelajaran bagi PdP bahasa Melayu. Dengan ini, saya mendapat satu pengetahuan dan kemahiran lagi untuk membina pakej tutorial pembelajaran sendiri supaya boleh digunakan oleh murid-murid dan juga dikongsi dengan rakan-rakan sejawat yang lain untuk bersama-sama mewujudkan suasana pembelajaran yang menarik.

Sebelum ini, saya hanya menggunakan pakej tutorial pembelajaran yang dibina oleh guru-guru lain atau pakar-pakar dalam bidang ICT. Tetapi selepas amali minggu ini, saya juga boleh membina pakej tutorial pembelajaran sendiri. Saya mendapat peluang untuk melaksanakan amali secara hands-on dan pengalaman ini amat berfaedah untuk saya bukan setakat di IPG tetapi juga membantu pengajaran saya pada masa hadapan.
Saya menyedari kepentingan penyediaan pakej tutorial pembelajaran kerana ia membolehkan seseorang murid untuk belajar tanpa kehadiran cikgu. Ini sebenarnya meningkatkan lagi kefahaman seseorang murid tentang sesuatu topik pengajaran kerana mereka menggunakan pakej tutorial pembelajaran melalui kerja sendiri. Oleh itu, saya beranggapan bahawa pakej tutorial pembelajaran boleh dijadikan BBM di dalam kelas untuk memudahkan PdP seorang guru.

Walaupun saya tidak berpeluang membina tapak pembelajaran secara dalam talian kerana tidak mampu untuk melayari laman-laman yang berbayar, namun saya juga mencari maklumat tentang cara membinanya dalam Internet. Dengan melihat kepada video dalam Youtube, saya juga tahu serba sedikit tentang cara membina dan menggunakan tapak pembelajaran. Jika satu hari nanti saya berkemampuan untuk menggunakan tapak-tapak pembelajaran yang bermanfaat ini dengan berbayar, saya juga akan menggunakannya untuk membina sesuatu bahan yang berguna bagi anak-anak murid saya.

Perjuangan untuk mendidik insan yang syumul tidak akan langsai selagi seseorang itu masih bergelar sebagai cikgu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan