Khamis, 13 Ogos 2015

Refleksi Minggu 8

Dalam minggu ini, saya diperkenalkan dengan aplikasi pengajaran seperti Web 2.0 secara dalam talian dan luar talian. Perbezaan paling ketara antara dalam talian dan luar talian ialah dalam talian memerlukan kemudahan Internet manakala luar talian atau lebih dikenali sebagai offline boleh digunakan tanpa Internet kerana maklumat yang diperlukan itu telah dimuat turun dan disimpan dalam satu fail. Hal ini merupakan satu berita baik yang sangat menggembirakan kerana saya sendiri merupakan salah satu pengguna Internet yang menghadapi kekangan untuk menyambung talian ke komputer saya.



Walaupun pengajaran dalam talian kelihatan rumit kerana memerlukan sambungan Internet ke komputer, tetapi saya lebih suka PdP dijalankan dengan adanya bahan yang harus dicari daripada Internet. Bagi saya, abad ke-21 merupakan zaman yang sarat dengan kecanggihan teknologi. Oleh hal yang demikian, kita harus memanfaatkan kemudahan ICT yang ada dalam dunia sekarang dengan maksimum.



Jika berbanding dengan zaman dahulu, kita hanya mencari maklumat dan bahan yang diperlukan di perpustakaan dalam bentuk buku. Namun kini, kita boleh mendapat bermacam-macam maklumat daripada Internet dengan cepat, mudah dan efisien. Kita tidak perlu menghabiskan masa membelek-belek buku untuk mencari bahan yang diperlukan tetapi kita hanya perlu memasukkan kata kunci yang ingin dicari dan Internet akan mencari bahan-bahan yang terhadap kata kunci tersebut kepada kita. Tidak kira bahan audio, video, permainan,gambar, teks mahupun PDF boleh dicari dalam Internet dan hasil pencarian itu biasanya pelbagai dan memenuhi kehendak kita sebagai warga Internet.



Dalam amali minggu ini, saya telah menjalankan simulasi pengajaran dalam talian dan luar talian. Saya telah membina RPH dari aspek set induksi dan langkah satu untuk kedua-dua aplikasi dalam dan luar talian. Dalam pengajaran dalam talian, banyak hyperlink telah saya masukkan yang berhubung dengan web page di Internet. Web page ini hanya boleh diakses dengan adanya perkhidmatan Internet. Contoh yang telah saya masukkan dalam amali ialah gambar Dato’ Lee Chong Wei yang dicari dariapda google images. Jika kita ingin menengok gambar tersebut, kita harus masuk kepada link yang disertakan itu dan Internet juga diperlukan.



Bagi pengajaran luar talian, saya telah memuat turun nota kata ganda separa daripada Internet terlebih dahulu. Oleh itu, anak-anak murid boleh terus guna bahan yang saya masukkan itu tanpa perlu perkhidmatan Internet.



Membandingkan kedua-dua pengajaran dalam dan luar talian, saya berpadangan bahawa pengajaran dalam talian lebih sesuai untuk murid bandar kerana mereka hidup dalam keadaan yang serba ada. Kebanyakan ibu bapa mereka mampu untuk menyediakan perkhidmatan Internet kepada anak mereka. Jadi, mereka boleh menggunakan Internet untuk menjalankan sesi pembelajaran. Namun, bagi murid-murid yang duduk di perkampungan dan pedalaman, kebanyakan taraf hidup keluarga mereka agak rendah. Oleh itu, mereka mungkin tidak mampu untuk melayan Internet mahupun memberi komputer. Maka, pengajaran luar talian lebih sesuai bagi mereka kerana mereka boleh menggunakan bahan Internet yang telah dimuat turun oleh cikgu tanpa perlu dilengkapi dengan apa-apa perkhidmatan dalam talian di pasaran.



Pada persepsi saya, semua murid berpeluang untuk mendapat pendidikan yang sama rata. Jika murid menghadapi kekangan dari segi ketiadaan Internet, maka cikgulah yang bertanggungjawab untuk membantu murid menyelesaikan masalah untuk memastikan bahawa mereka juga menjalankan proses pembelajaran walaupun tanpa Internet.

Khamis, 6 Ogos 2015

Refleksi Minggu 7



Dalam minggu ke-7, saya telah mempelajari model pembinaan pemprosesan maklumat. Model ini penting kerana kapasiti harddisk serta pendrive adalah terhad. Oleh itu, lebih baik kita memproses dan menyimpan maklumat yang diperlukan supaya dapat digunakan pada suatu masa nanti.

Dalam pemprosesan maklumat, terdapat 4 proses yang terlibat iaitu pengengkodan, pengdekodan, ingat kembali dan lupaan. Otak manusia mempunyai kekurangan kepada kita sebagai manusia bersifat senang lupa. Saya memahami bahasa maklumat yang telah saya dapati itu akan menyimpan dalam ingatan jangka pendek dan ingatan jangka panjang. Jika maklumat yang penting disimpan dalam ingatan jangka pendek, maka mungkin kita akan lupa maklumat tersebut dalam  jangka masa antara 10-20 saat. Hal ini akan memberi kesan negatif kepada kita kerana bersifat pelupa dan tidak akan diamanahkan dengan tugasan yang penting dan mustahak.

Dalam minggu ini, saya mempelajari cara untuk mendapatkan soalan peperiksaan daripada bank soalan di dalam Internet. Saya diajar untuk menggunakan perkhidmatan bank soalan oleh rakan-rakan yang bertugas untuk membentang. Hal ini membantu saya mengingat bagaimana bank soalan itu digunakan agar membolehkan saya menggunakannya untuk PdP seterusnya.

Sebelum ini, persepsi saya ialah soalan-soalan peperiksaan disimpan oleh guru satu tahun demi satu tahun kemudian memberikan kepada kami sebagai calon UPSR untuk menjawabnya. Rupa-rupanya dalam zaman yang sarat dengan kecanggihan teknologi ini, soalan-soalan tersebut boleh dimuat turun daripada Internet kerana terhadap bank soalan yang direka untuk memproses dan menyimpan semua soalan daripada negeri-negeri yang berlainan di Malaysia. Hal ini bukan sahaja menjimatkan masa guru untuk mengumpul soalan semua negeri tetapi juga menjimatkan ruang untuk menyimpan kertas-kertas soalan dalam bentuk hardcopy. Kita hanya perlu memuat naik soalan yang diperlukan dalam bentuk softcopy dan print kepada anak-anak murid apabila diperlukan.

Beginilah kemudahan tapak pembelajaran yang memasukkan bank soalan ke dalamnya untuk memudahkan kehidupan khalayak ramai tidak kira golongan guru, murid mahupun ibu bapa. Kewujudannya memudahkan kerja seorang guru.

Rabu, 5 Ogos 2015

Amali Minggu 7: Mencari Soalan UPSR daripada Bank Soalan

Percubaan UPSR Johor Bahasa Melayu Percubaan UPSR Negeri Sembilan Bahasa Melayu Percubaan UPSR Terengganu Bahasa Melayu





Semua soalan percubaan UPSR ini saya muat turun daripada  Internet. Pertama sekali, kita perlu melayari http://www. google.com/ untuk mencari bahan yang diperlukan. Kemudian, masukkan kata kunci, contohnya "bank soalan UPSR" dalam ruangan pencarian. Kemudian, pilih alamat yang diperlukan. Dalam contoh di bawah, web "Bank Soalan Tahun 6 UPSR - Sistem Guru Online" telah terpilih.

Kemudian, memilih kertas soalan yang diperlukan daripada pilihan negeri yang disediakan dalam laman sesawang tersebut.

Diikuti dengan memilih soalan subjek yang diperlukan. Contoh yang ditunjukkan di bawah ialah pemilihan “Soalan bahasa Melayu Pemahaman Percubaan UPSR 2015 Negeri Johor”.

Seterusnya, bahan yang dipilih itu adalah sedia untuk dimuat turun dengan mengklik link download yang ada pada laman tersebut.

Dengan ini dapatlah soalan peperiksaan yang diperlukan tidak terhad kepada negeri dan subjek. Kebanyakan soalan daripada negeri-negeri Malaysia dimuat naik dalam laman sesawang tersebut untuk rujukan guru dan murid yang bersedia untuk menghadapi peperiksaan UPSR.








Khamis, 30 Julai 2015

Refleksi Minggu 6



 Dalam minggu ini, saya didedahkan dengan 4 jenis struktur perpautan dalam penyusunan bahan PdP bahasa Melayu. Sebelum ini, saya mengetahui tentang hyperlink dalam blog serta pakej tutorial pembelajaran yang telah saya amalikan dalam minggu ke-5. Kali ini, saya diminta untuk menghasilkan struktur perpautan dalam bentuk PowerPoint pula. Sebelum diterangkan dengan lebih lanjut, saya berpandangan bahawa struktur perpautan tidak terikat dengan format-format tertentu. Tetepi rakan-rakan sekelas memberi tunjuk ajar kepada saya bahawa terdapat 4 struktur perpautan yang boleh digunakan dan bentuknya berlainan. Maka bertambahlah pengetahuan saya tentang struktur perpautan dalam PowerPoint.

Selepas sesi amali, saya mendapat tahu bahawa struktur-struktur perpautan ini amat berguna kepada saya untuk menyediakan PowerPoint yang memasukkan semua bahan yang berkaitan dengan satu tajuk. Dengan menggunakan struktur hierarki, struktur komposit, struktur linear dan struktur rangkaian, bahan-bahan bahasa Melayu yang daripada laman sesawang berlainan boleh dimasukkan ke dalam satu PowerPoint untuk dilayari oleh murid sebagai bahan tambahan dan bahan rujukan.

Selain itu, saya memahami peranan saya sebagai guru yang harus menyediakan satu laman utama yang di dalamnya merangkumi pelbagai pautan untuk membantu murid menyelesaikan tugasan atau latihan yang telah saya berikan. Dengan melayari ke laman-laman pautan yang saya sertakan dalam PowerPoint, murid akan mendapat maklumat yang menyeluruh tentang sesuatu tajuk tugasan. Tajuk tugasan itu didefinisikan dan diterangkan secara umum dalam laman induk yang harus juga saya pautkan dalam PowerPoint.

Sebagai percubaan, saya membuat struktur hierarki tentang golongan kata. Maksud golongan kata dipautkan dalam laman induk. Kemudian, terbahagi kepada kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas yang terdapat dalam laman sesawang yang berlainan. Selepas membuat pemilihan, saya memasukkan hyperlink laman yang paling sesuai dengan tahap murid dalam PowerPoint itu. Dengan itu, diharapkan murid dapat memahami golongan kata dengan lebih lanjut lagi melalui pautan-pautan yang disertakan itu.

Kemudian, saya menghasilkan struktur komposit yang berkaitan tentang rokok. Struktur ini telah saya bina sebagai bahan pengajaran karangan tentang kesan merokok. Pertama sekali, saya memasukkan perpautan tentang kandungan yang ada dalam sebatang rokok. Kemudian, barulah saya menyertakan perpautan tentang kesan rokok kepada manusia. Selepas melayari perpautan yang saya sertakan itu, murid-murid boleh menggunakan maklumat-maklumat yang didapati daripada perpautan dalam hasil karangan mereka.

Untuk struktur linear, saya memberi fokus kepada syair, iaitu salah satu bahan sastera bahasa Melayu yang terkenal. Selain definisi syair, saya masukkan juga perpautan gaya bahasa sastera supaya murid dapat memahami serba sedikir tentang stail yang boleh digunakan semasa menghasilkan karya sastera. Selepas itu, saya menyertakan satu syair nasihat dairpada Ibny Ahmad Medan. Murid-murid boleh meneliti dan menghayati syair beliau dan mengaitkan dengan definisi serta gaya bahasa yang telah dibaca dalam perpautan-perpautan tadi.

Akhir sekali, saya menyediakan struktur rangkaian untuk diri saya sendiri. Saya mencari perpautan yang merangkumi bahan rujukan untuk guru sekolah rendah. Dengan adany laman induk tersebut, saya boleh memuat turun bahan kecemerlangan UPSR, soalan semua subjek dan skemanya, serta jadual waktu peperiksaan dengan mudah. Hal ini sesuai dengan perkembanagn zaman teknologi yang semua maklumat boleh diperoleh melalui jari tangan sahaja.

Kesimpulannya, setiap laman yang diakses itu akan membawa kepada beberapa subpautan yang berkaitan dengan laman induk tersebut. Pautan tersebut kadang-kala berkaitan langsung dengan tajuk dan kadang-kala tidak. Ia boleh juga diakses secara berasingan mengikut kesesuaian tajuk dan ruang lingkup rujukan yang diperlukan untuk menyelesaikan tugasan tersebut. Hal ini bergantung kepada guru untuk memberi mana-mana struktur perpautan bagi membantu murid mendalami tajuk tugasan yang diberikan supaya tugasan tersebut boleh disiapkan dengan sempurna.